Iklan

» » Strategi berkesan penting bagi atasi masalah sosial

Strategi berkesan penting bagi atasi masalah sosial


Oleh Kasmadi Haji Nasir

MASYARAKAT kita menaruh harapan pada Forum Pemimpin Masyarakat Cemerlang pada 4 Oktober kelak untuk menghuraikan pelbagai masalah utama.

Para Anggota Parlimen (AP) Melayu/lslam dengan 40 orang pemimpin badan Melayu difahamkan bakal memberikan tumpuan kepada tiga perkara penting ¡­ pendidikan, keluarga dan pekerjaan. Saya percaya forum itu mendapat sokongan ramai. Kita berharap hasilnya akan mendorong terlaksananya langkah konkrit yang memperteguh kemajuan masyarakat Melayu/lslam.

Apakah dan bagaimanakah tanggapan kita terhadap masalah sosial akan menentukan secara tidak langsung, cara sesuatu masalah diatasi. Bukan tujuan saya untuk membincangkan secara terperinci masalah sosial tadi. Namun ingin juga saya kemukakan beberapa saranan untuk ditimbangkan bagi forum itu.

Fahami masalah

Secara peribadi, saya menyokong forum itu kerana ia melibatkan institusi-institusi sosial yang asas dan penting. Sudah lama masyarakat kita menghadapi masalah sosial yang serius.
Tetapi apakah erti "masalah sosial'?

Secara ringkas, masalah sosial adalah keadaan sosial yang tidak diingini berlaku dalam masyarakat. Ia dianggap mengancam nilai atau kepentingan tertentu seperti perpaduan dan akhlak, undang-undang, kemantapan institusi sosial, kemajuan ekonomi atau kebebasan individu.

Masalah sosial mempunyai ciri-ciri berikut:
  • Mendatangkan kesusahan atau penderitaan psikologi, mental atau fizikal kepada individu atau kumpulan yang mempunyai ciri-ciri atau sifat-sifat yang sama.
  • Merupakan ancaman atau cabaran hebat kepada sistem nilai atau kepentingan tertentu masyarakat.
  • Berlaku dalam jangka waktu yang lama kerana kaitannya dengan aspek-aspek lain dalam masyarakat.
  • Menimbulkan pelbagai strategi tetapi masih sukar menyelesaikannya kerana pandangan dan penilaian yang berbeza antara kumpulan-kumpulan dalam masyarakat.
Pelbagai jenis masalah sosial terdapat dalam masyarakat seperti jenayah, kemiskinan, kemunduran pelajaran, pengangguran, masalah keluarga dan jurang jantina.
Ada dua jenis masalah sosial:
  • Perlakuan dan keadaan yang melanggar norma-norma dan nilai-nilai yang menjadi pegangan masyarakat.
  • Keadaan yang berpunca daripada masyarakat yang mendatangkan keresahan, kesusahan dan penderitaan mental dan fizikal kepada sebahagian ahli masyarakat.
Punca dan penyelesaian

Ada kaitan antara punca dan cara masalah sosial diatasi. Terdapat dua pendekatan mengenai sebab timbulnya masalah sosial.
Pendekatan pertama yang boleh disebut pendekatan individu ¡­ menganggap masalah sosial terbit daripada individu-individu yang bermasalah seperti gagal dalam pelajaran (kerana malas atau kurang cerdas), terjerumus ke lembah maksiat kerana dorongan nafsu dan sebagainya.

Pendekatan kedua yang boleh disebut pendekatan sistem ¡­ melihat masalah sosial terbit  daripada struktur sosial masyarakat seperti pengangguran akibat penyusunan ekonomi, syarikat berpindah atau penciptaan teknologi baru yang menjimatkan tenaga kerja.

Implikasi pendekatan individu ini diperkuatkan pula dengan lahirnya kerjaya bersifat membantu langsung golongan bermasalah. Kerjaya bimbingan ini adalah seperti pekerja sosial, kaunselor dan ahli psikoterapi. Mereka ini, terutama pekerja sosial, melihat masalah sosial sebagai masalah teknikal dan dengan menggunakan ilmu dan kemahiran yang ada, melihat masalah sebagai masalah peribadi. Bagaimanapun, golongan pembimbing ini berperanan penting dalam memulihkan individu.

Terdapat satu lagi implikasi iaitu mereka yang dilanda masalah sosial dianggap penyebabnya. Tanggapan ini kurang tepat. Sebenarnya, mereka mengalami kesan daripada wujudnya masalah sosial. Mereka memperlihat adanya gejala (symptom) wujudnya masalah sosial.

Dari segi pendekatan sistem, punca masalah sosial ialah susunan atau struktur sosial. Individu atau golongan masyarakat yang mengalami masalah sosial dianggap tidak bersalah dan merupakan mangsa keadaan sosial yang sedang berlaku. Implikasinya ialah keadaan sosial yang bertanggungjawab mewujudkan masalah sosial, sedang individu atau golongan yang dilanda diandaikan sebagai robot yang tidak dapat berfikir dan bertindak. Mereka terpaksa mengalami kesukaran akibat mengalami masalah sosial.

Berdasarkan pendekatan sistem, cara untuk menyelesaikan masalah sosial adalah dengan mengubah struktur sosial. Bapa faham komunisme, Karl Marx, yakin jika struktur sosial menunjang faham komunisme, maka masalah sosial akan berakhir.

Sesuatu masalah sosial memang rumit (kompleks) dan bertalian pula dengan masalah sosial yang lain. Misalnya, seseorang terpaksa menjadi pekerja bergaji rendah (kemiskinan) kerana kelulusannya (pendidikannnya) rendah. Lazimnya orang beranggapan masalah sosial terbit hasil daripada perbuatan individu sendiri. Dengan kata lain, mereka berpegang pada pendekatan pertama.

Oleh itu dalam menghuraikan masalah sosial, perlu ada keseimbangan antara kedua-dua pendekatan agar strategi berkesan diperolehi.

Luaskan penyertaan

Izinkan saya menyarankan agar forum dibuka kepada lebih ramai orang dengan sebab-sebab berikut:

Pertama, isu keluarga dan pekerjaan boleh dianggap masih baru dalam perbincangan umum berbanding dengan isu pendidikan yang walaupun sudah lama dibahaskan namun masih merupakan masalah sosial.

Kedua, penyertaan besar akan menegaskan kegentingan masalah serupa, sama seperti Kongres Mendaki pada 1982 yang telah menampilkan pelbagai program demi meningkatkan prestasi murid Melayu. Begitu juga dengan Konvensyen AMP pada 1990.

Ketiga, lebih banyak idea, maklum balas dan saranan terhasil daripada penyertaan ramai. Saya sarankan agar dua kumpulan diundang: ilmiawan dan para pegawai kementerian yang relevan.

Ilmiawan dapat menampilkan ilmu dan dapatan daripada bidang sains sosial, khususnya melihat isu atau masalah dari sudut pendekatan kedua iaitu struktur sosial. Mereka juga dapat membawa perbincangan masalah masyarakat Melayu/lslam dalam konteks nasional.

Para pegawai yang relevan dari Kementerian Pendidikan, Tenaga Manusia dan Pembangunan Masyarakat dan Sukan pula dapat berkongsi data dan pengamatan atau perkembangan terkini terhadap masalah masyarakat Melayu/lslam.

Hasil penyelidikan

Kita perlu memanfaatkan dapatan dan saranan yang diusahkan oleh Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Nasional Singapura (NUS). Ia telah menjalankan penyelidikan mengenai masyarakat Melayu, antaranya terpapar dalam kertas kajian berikut:
  • The Making of Singapore Sociologi, Tong Chee Kiong & Lian Kwen Fee (eds), 2002.
  • Zarina Hashim (1992) The Malay Middle Class, Dept. of Malay Studies, NUS.
  • Sarbene Jantan (1994/95) Obstacles to the Rise of the Malay Entrepreneurial Class: The Case of Singapore, Southeast Asian Studies Programme, NUS.
  • Mariam Mohd Ali (1989) Uniformity and Diversity among Muslims in Singapore, Dept. of Sociology, NUS.
  • Dr Hussin Mutalib et al (eds) (1996) Singapore Malay/Muslim Community, 1819-1994: A Bibliography, Centre for Advanced Study, NUS.
Dana

Pelan bertindak tidak akan terlaksana tanpa kepakaran dan dana. Sebagai contoh untuk membantu keluarga miskin yang mempunyai anak-anak yang masih bersekolah, pemerintah telah melancarkan Dana Amanah Pendidikan Masyarakat (ETF).
Badan dan AP Melayu/lslam gigih mengumpulkan dana untuk ETF yang mendapat sokongan setiap dolar daripada pemerintah.

Wan Hussin Zoohri, mantan AP, (monografnya, The Singapore Malays, The Dilemma of Development, KGMS, 1990) menyatakan bahawa pada 1985 telah diadakan Kongres Ekonomi Masyarakat Melayu/lslam Singapura (Kemas) yang mengusulkan pembentukan Dana Masyarakat Islam Singapura (Danamis) menerusi tabungan sebahagian gaji pekerja Islam lewat CPF.

Dengan 150,000 pekerja Islam dan potongan $10 sebulan, bererti boleh terkumpul $180 juta selama 10 tahun.

Saya sarankan ditubuhkan dana serupa menerusi tabungan melalui CPF ditimbangkan semula. Manfaatnya besar sekali.

Dana bersama seperti Dana Pembinaan Masjid (DPM) sudah terbukti berguna untuk kemajuan masyarakat Melayu/Islam.

Cabaran dan harapan

Setiap masyarakat mempunyai masalah sosialnya yang tersendiri. Kita tidak terkecuali. Dengan mempunyai pengetahuan menyeluruh mengenai masalah itu, langkah-langkah konkrit dan sesuai perlu dilaksanakan demi kemajuan jangka panjang.

Semoga forum itu akan menjadi satu lagi peristiwa penting dalam usaha untuk meningkatkan lagi tahap kemajuan masyarakat Melayu/lslam. Ketetapannya akan menjadi realiti pada masa hadapan. Nota: Penulis mantan pendidik dan kini pengamat sosial.

Nota: Penulis mantan pendidik dan kini pengamat sosial

Petikan Dari Berita Harian, Sabtu 21 Jun 2003

About Admin

Hi there! I am Hung Duy and I am a true enthusiast in the areas of SEO and web design. In my personal life I spend time on photography, mountain climbing, snorkeling and dirt bike riding.
«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply