Spa khas untuk menyundal di Puchong
Gambar hiasan |
Serbuan yang dijalankan sepasukan 10 pegawai dan anggota polis dari Bahagian Pencegahan Jenayah Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat Bukit Aman jam 11 malam kelmarin itu berjaya menahan empat wanita dipercayai pelacur.
Ketika serbuan dijalankan, empat wanita itu dikatakan sedang melayan pelanggan, termasuk seorang dalam kolah jakuzi.
Pakej istimewa yang disediakan pusat spa itu membolehkan pelanggan dan pekerja seks mandi bersama dalam kolah menaikkan keghairahan sebelum mengadakan hubungan seks.
Serbuan diketuai Asisten Superintendan Muhammad Mohd Jais turut menahan seorang lelaki berusia 27 tahun dipercayai penjaga premis terbabit.
Muhammad berkata, empat wanita dipercayai warga Thailand itu ditahan kerana menyalahgunakan pas lawatan yang dimiliki mereka dengan bergiat dalam aktiviti pelacuran.
“Kami sentiasa memandang serius perkara ini dan akan menjalankan serbuan dari semasa ke semasa bagi mengekang aktiviti tidak bermoral ini,” katanya.
Menurutnya, semua wanita berusia 20-an dan penjaga premis terbabit dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang untuk siasatan lanjut.
Tinjauan Harian Metro mendapati terdapat beberapa laluan sulit dibuat sindiket berkenaan yang disyaki digunakan oleh pelanggan dan pelacur di premis terbabit untuk melarikan diri ketika serbuan diadakan.
Turut ditemui ratusan kotak kondom yang disembunyikan dipercayai untuk diberikan kepada pelanggan.
No comments: