Pengurus Ladang Putus Tangan Kanan
GUA MUSANG – Seorang pengurus ladang putus tangan kanan setelah
tercampak keluar dari kenderaan pacuan empat roda dipandunya selepas
terbabas dalam kejadian kemalangan di Kilometer 41.9 Jalan Aring-Kuala
Berang, di Felda Aring, jam 7.30 pagi, kelmarin.

Ketua Polis daerah, Superintendan Saiful Bahri Abdullah berkata, mangsa,
Hairul Naim Ab Muhid, 31, kini menerima rawatan di Hospital Universiti
Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.
Menurutnya, mangsa yang bekerja dengan Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) Sawit dalam perjalanan ke ladang di Aring.
“Ketika dalam perjalanan, kenderaan dipandu mangsa hilang kawalan lalu
terbabas sebelum terbalik beberapa kali menyebabkannya tercampak keluar.
“Tangan mangsa yang bergesel dengan dawai penghadang jalan terputus paras bahu dan ia turut dijumpai ada dekat situ,” katanya.
Saiful Bahri berkata, mangsa yang terbaring dalam keadaan separuh sedar
ditemui orang ramai yang kebetulan melalui kawasan itu sebelum dibawa ke
Hospital Gua Musang (HGM) untuk menerima rawatan.
“Kita masih menunggu laporan rasmi daripada Ibu Pejabat Daerah (IPD) Gua Musang untuk menjalankan siasatan lanjut,” katanya. – Sinar Online
No comments: